pada sekeping hati yang dingin



Kata kawanku, cinta ibarat menunggu bas. Bila sebuah bas datang, kita akan kata, “Eee…penuhnya bas tu. Takde tempat duduk.” Lalu kita pun cakap, “Saya akan tunggu bas yang lain.” Lalu kita biarkan bas tu berlalu. Kemudian, datang pula bas yang kedua dan kita cakap, “Erm…buruk sangat bas ni. Mesti tak selesa dan mungkin akan rosak tengah jalan nanti.” Jadi kita pun biarkan bas tu berlalu dan menunggu bas yang seterusnya. Setelah beberapa lama, datang lagi sebuah bas. Bas yang datang tu kosong, tak penuh, dan tak seburuk bas yang sebelumnya tapi kali ni kita kata, “Ermm… takde aircond… cuaca pulak panas. Lebih baik saya tunggu bas yang lain.” Dan kita biarkan juga bas tu berlalu untuk menanti bas yang seterusnya. Tiba-tiba awan mula gelap, cuaca mendung dan kita perasan yang kita dah terlambat rupanya. Kita mula panik dan terus naik bas yang datang ketika itu, walaupun bas itu tak begitu sempurna. Dan kemudian kita pun sedar yang kita dah naik bas yang salah.
 Kita selalu menunggu bas yang elok untuk membawa kita sampai ke destinasi yang kita inginkan. Sehinggakan bila ada bas lain yang lalu, kita abaikan dan terus menunggu bas yang terbaik untuk dinaiki. Tapi, rupa-rupanya menunggu bas yang elok tu ambil masa yang lama. Sedar-sedar kita dah membazirkan terlalu banyak masa sedangkan bas tu sebenarnya tak seperti yang kita harapkan dan ada bas lain lagi yang lebih baik daripada tu. Dan pada masa tu, bila kita sedar…kita dah kehilangan sesuatu yang berharga yang mungkin kita takkan dapat untuk selama-lamanya. Kemudian, kita pun menyesal. Bila dia melihat wajahku yang masih blur, dia tersenyum lantas menyambung ceritanya, “Jangan takut untuk bercinta. Beranikan diri. Apa salahnya beri satu peluang kepada orang lain. Kalau awak dapati bas tu tak sesuai dengan awak, tekan loceng dan turun dari bas tu.” Kata-katanya masih segar dalam ingatanku sehingga kini.
 “Eh, Win. Apa yang dimenungkan tu?” Aku tersentak apabila bahuku ditepuk dari belakang. Azrina tersengih sambil duduk di sebelahku. Dia menghulurkan secawan teh kepadaku.
 “Tak ada apa-apalah. Aku tengah tengok langit tu. Takde bintang pulak malam ni. Nak hujan agaknya.” Jawabku selamba. Azrina mendongak ke langit. “Awal kau balik malam ni. Tak ambik OT ke?” Azrina menggeleng.
 “Win, kau ingat tak Zhairul?” Aku memandang wajah Azrina. Zhairul? Siapa pula Zhairul ni? Aku menggelengkan kepalaku. “Kau tak ingat? Eh, pelik. Di pasaraya tadi, dia cakap dia kenal kat kau. Jadi, aku…erm…”
 “Kenapa?” Wajah Azrina berubah pucat. Hm, mesti ada sesuatu yang dia buat ni… “Baik kau terus-terang, Rin. Apa yang berlaku sebenarnya.”
 “Aku…Aku bagi nombor telefon bimbit kau kat dia. Tapi, aku sumpah Win. Aku betul-betul ingat dia kawan kau yang dah terputus hubungan. Lagipun dia…” Riak wajah Azrina tiba-tiba berubah. “Dia…handsome sangat…”
 “Kau ni memang…pantang tengok mamat handsome. Kalau handsome baik hati tak pe jugak. Kalau handsome tapi rupa-rupanya pembunuh bersiri, ha…macam mana pulak tu?” Aku menggeleng-gelengkan kepala. Ngeri rasanya mengingatkan berita-berita terkini yang heboh dengan kes pembunuhan wanita-wanita yang terpedaya dengan lelaki yang dikenali di alam maya. Wajah Azrina berubah.
 “Harap-harap takla… Aku tengok muka dia humble. Tak macam orang jahat.” Azrina mempertahankan penilaiannya. Aku tersenyum. “Tapi, betul ke kau tak kenal orang yang bernama Zhairul ni?”
 “Aku tak ingat. Dahlah, Rin. Abaikan je lelaki tu. Jom masuk. Dah lewat malam ni.” Aku mengajak Azrina masuk ke dalam rumah. Dia menurut. Tidak lama kemudian, hujan gerimis mula turun.
*****
Wajah wanita berusia 30-an itu kelihatan runsing. Matanya tak lepas-lepas memandang ke arah jam tangannya.
“Dik, boleh pinjamkan telefon bimbit?” Wanita bertanya padaku. Aku terpinga-pinga seketika. “Akak nak buat panggilan kepada adik akak. Sepatutnya dia datang jemput. Dah lewat sejam, tapi tak juga sampai-sampai. Risau juga kalau ada apa-apa hal berlaku.” Jelas wanita itu ketika aku menghulurkan telefon bimbit kepadanya.
Seperti dia, aku juga sedang menunggu… menunggu bas yang dah setengah jam tak sampai-sampai lagi. nasib la kena naik bas beberapa hari ni sementara  keretaku masih di bengkel.
“Terima kasih, dik. Sekejap lagi adik akak sampai. Rupa-rupanya dia pergi ambik anak akak kat sekolah. Sebab tu la lambat. Akak pun terlupa yang Irna ada sekolah ganti hari ni.” Wanita itu tersenyum.
“Oh… baguslah kalau macam tu.” Ucapku ringkas. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kak Hasmah. Aku hanya mendengar dia bercerita tentang adik nya yang baru pulang dari luar negara.
“Ha, itu pun Zhairul. Apa kata kalau akak hantarkan Winda ke tempat yang Winda nak pergi tu. Lagipun, jalan ke tempat tu sehala dengan rumah akak.” Wanita itu menarik tanganku masuk ke dalam kereta tanpa menunggu persetujuanku. “Rul, kita hantarkan Winda ke Jalan P. Ramlee dulu ye. Lama sangat nak tunggu bas ni.” ujar Kak Hasmah. Lelaki itu hanya mengangguk.
“Cikgu!” Aku memandang ke arah gadis cilik yang duduk di kerusi hadapan. Hm, betul la Irma ni yang aku jangka tadi. Aku tersenyum. “Cikgu, cikgu nak ke mana?”
“Ha? Winda ni cikgu Irma ke??” Kak Hasmah terpaku. Aku mengangguk.
“Ye, mi… Cikgu ni la yang Irma selalu cerita kat umi.” Jelas Irma. Kak Hasmah tersenyum lebar. “Pak su, kan pak su nak sangat tengok cikgu Winda. Ini la cikgu Winda…yang cantik, lemah lembut, penyabar…”
“Hish, melebih-lebih pula Irma ni.” Aku menjeling gadis cilik itu. Irma tersengih. Aku sempat menjeling lelaki yang dipanggilnya pak su. Lelaki itu mendiamkan diri sejak tadi.
“Rul… jangan la control macho plak. di rumah bukan main lagi pak su tanya pasal cikgu… Sekarang dah jumpa, apa lagi…tanya la tuan punya badan sendiri…” Giliran Kak Hasmah pula menggiat. Aku tersipu. Isk, apasal pula ni? aku malu….

1 ulasan:

Eh...macam tergantung je cite ni...?


EmoticonEmoticon